Hard disk merupakan perkakasan penting di dalam sistem komputer anda,
baik desktop mahupun laptop. Selain dari digunakan sebagai storan menyimpan
data, ia juga digunakan untuk menempatkan sistem operasi komputer anda. Oleh
itu, hard disk memerlukan penjagaan yang rapi supaya ia keselamatan kandungan
datanya terjamin dan dapat digunakan pada tempoh yang lebih panjang.
Artikel ini menceritakan serba sedikit tentang punca kerosakan hard disk
biasa dan cara penjagaannya. Penjagaan hard disk jenis SSD tidak dirangkumi
kerana tata cara pengurusan dan risiko kerosakannya agak berbeza jika
dibandingkan dengan hard disk biasa.
Kerosakan Fizikal
Imej diperoleh dari Fotolia |
Punca paling kerap berlaku yang menyebabkan hard disk biasa lekas rosak
adalah kerosakan fizikal yang disebabkan oleh terjatuh atau gegaran. Binaan
dalaman hard disk yang terdiri dari komponen-komponen kecil mekanikal sangat
sensitif terhadap sebarang perubahan yang berlaku terhadap jajarannya
(alignment). Terlari sikit pun sudah cukup untuk menjadikan hard disk berkenaan
bermasalah.
Untuk itu, langkah sebaiknya adalah meminimumkan sebarang pergerakan
luaran yang melibatkan hard disk anda. Hard disk desktop yang bersaiz faktor
3.5 inci lebih berisiko untuk rosak berbanding hard disk untuk kegunaan laptop
(2.5 inci) kerana hard disk untuk laptop dibina lebih tahan lasak
kerana ia dibina khusus untuk peranti mudah alih.
Namun, anda tetap perlu mengendalikannya dengan berhati-hati kerana
kalau anda terhentak sikit pun hard disk berkenaan mempunyai risiko untuk
berlakunya kerosakan data.
Terlampau panas
Imej diperoleh dari Tech Arabi |
Sama juga dengan perkakasan-perkakasan elektronik lain, hard disk perlu
dioperasikan di bawah julat suhu yang optimal bergantung kepada model dan
pengeluarnya. Asalkan anda menggunakannya di dalam julat suhu yang bersesuaian,
hard disk dapat digunakan tanpa sebarang masalah.
Namun, masalah kepanasan sering timbul apabila kerangka desktop tidak
diselenggara dengan baik hingga aliran udara di dalamnya terganggu akibat
dipenuhi habuk. Begitu juga halnya dengan laptop di mana anda perlu ambil
perhatian pada bahagian rongga aliran keluaran udaranya supaya bebas dari
habuk-habuk yang menyekatnya.
Pengguna laptop boleh juga menggunakan pelapik laptop berkipas yang
mampu melancarkan aliran udara pada permukaan bawah laptop dan mengurangkan
risiko lampau panas pada laptop.
Fragmentasi fail
Fragmentasi fail bukanlah punca kerosakan hard disk secara langsung.
Bagaimanapun, fragmentasi akan membuatkan hard disk bekerja dengan lebih kuat
kerana perlu mencari pecahan-pecahan data yang bersepah dan tidak bersusun pada
satu tempat.
Oleh itu, kerja-kerja defragmentasi perlu dilakukan supaya
pecahan-pecahan data ini dapat disusun kembali dan memudahkan capaian data
dapat dilakukan dengan lebih pantas. Defragmentasi juga penting untuk
meningkatkan prestasi komputer anda secara keseluruhannya. Hard disk yang
menggunakan format FAT32 perlu lebih kerap melakukan defragmentasi berbanding
yang menggunakan format NTFS.
Bagaimanapun, anda tidak perlulah terlalu kerap melakukan defragmentasi
ini kerana fragmentasi berlaku apabila anda banyak perubahan data terlalu kerap
berlaku pada hard disk anda. Sebaiknya, anda melakukan defragmentasi apabila
fragmentasi anda sudah mencapai diantara 5 hingga 10 peratus.
Gangguan bekalan elektrik
Bekalan kuasa elektrik ada masanya tidak konsisten. Pada satu-satu masa,
voltan boleh melebihi dari kadar biasa dan lonjakan voltan yang naik secara
mengejut dalam waktu yang singkat dipanggil sebagai pusuan voltan (voltage
surge).
Pusuan voltan boleh menyebabkan kerosakan terhadap perkakasan komputer
anda termasuklah hard disk. Untuk mengatasi masalah ini, penggunaan pelindung
voltan pusuan (surge protector) dapat melindungi perkakasan komputer anda dari
kerosakan yang berpunca dari gangguan bekalan elektrik.
Selain dari masalah pusuan voltan, masalah terputus bekalan elektrik
yang berlaku terlalu kerap juga mampu mendatangkan kesan buruk terhadap
perkakasan komputer terutamanya hard disk. Untuk itu, sebaiknya anda boleh
mennggunakan power supply yang lengkap dengan surge protector. Perlindungan
dua-dalam-satu ini sekurang-kurangnya mampu melindungi anda dari bahaya yang
tidak diduga.
Kesimpulan
Hard disk memerlukan penjagaan yang cermat oleh kita sebagai pengguna.
Hal ini kerana, walaupun hard disk boleh digantikan dengan yang baru, data yang
terkandung di dalamnya itu lebih bernilai dari harga perkakasan itu sendiri.
Oleh itu, langkah sebaiknya adalah mengendalikannya dengan cermat kerana
bimbang ia rosak sebelum anda sempat melakukan backup terhadap kandungan di
dalam hard disk berkenaan.
Rujukan
: http://anakaskarpencen.com
Imej
cover diperoleh dari Simon Yeo,
Flickr