TAKLIMAT KESEDARAN KESELAMATAN SIBER









               
                           Taklimat Kesedaran Keselamatan Siber untuk pelajar SMK Tunku Puan Habsah telah diadakan pada 2 November 2018 (Jumaat). Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Air Itam. Taklimat yang bermula dari jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari telah dihadiri oleh 132 orang pelajar yang terdiri dari pelajar tingkatan 1 hingga 3. 

Taklimat yang diberikan menyentuh tentang peranan CyberSecurity Malaysia sebagai pusat pakar keselamatan siber kebangsaan di samping membentuk kesedaran dalam kalangan pelajar tentang jenayah siber yang semakin berleluasa. Pelajar turut diberi pendedahan dan penerangan  tentang amalan terbaik dalam keselamatan siber dan kepentingan melindungi maklumat peribadi. Langkah asas amalan tebaik ini melibatkan pengendalian kata laluan, pengemaskinian perisian keselamatan, penyimpanan dan perlindungan maklumat, etika penggunaan internet dan media sosial, mengelak daripada terpedaya, waspada terhadap jenayah siber dan pautan/lampiran yang mencurigakan, serta sentiasa peka terhadap ancaman siber terkini.

Taklimat diakhiri dengan sesi menjawab beberapa soalan kuiz dan cenderamata diberikan kepada pelajar yang berjaya menjawab soalan dengan betul. Adalah diharapkan impak dari taklimat yang telah disampaikan ini dapat  membentuk dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar agar lebih bertanggungjawab dalam pengendalian maklumat digital dan etika penggunaan medium siber agar mereka menjadi warga yang bertanggungjawab dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Pengetua dan barisan pentadbiran SMK Tunku Puan Habsah serta Guru Penyelaras ICT  atas peneriman dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan taklimat ini.